INFO SMKBBST

SEJARAH PENUBUHAN SMK BANDAR BARU SALAK TINGGI


Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Baru Salak Tinggi [SMKBBST] ditubuhkan pada tahun 2001 dan mula beroperasi pada 3 Januari 2001. Sekolah ini merupakan sekolah menengah kelima ditubuhkan di daerah Sepang. Pada peringkat awal, bilangan pelajar adalah seramai 73 orang iaitu terdiri daripada dua kelas tingkatan 1. Bilangan tenaga pengajar pula ialah seramai 13 orang termasuk tiga orang pentadbir. Tuan Haji Hisamuddin bin Husnin merupakan pengetua pertama sekolah ini. Pada masa itu, hanya seorang pembantu tadbir sahaja yang ditugaskan di SMKBBST.
Oleh sebab bangunan sekolah belum siap sepenuhnya, sekolah ini terpaksa ditumpangkan di bangunan SMK Seri Sepang. Pada 11 Jun 2001, barulah SMKBBST berpindah ke bangunan sendiri yang terletak di Taman Dahlia. Sejak berpindah ke bangunan baru, bilangan pelajar semakin meningkat dari setahun ke setahun.
Bagi menampung keperluan pelajar khususnya yang tinggal berjauhan dengan sekolah, asrama putera dan asrama puteri telah disediakan. Asrama SMKBBST mampu menampung sehingga 250 orang pelajar dan mula beroperasi pada tahun 2002. Sekolah ini juga merupakan sekolah pertama daerah Sepang yang menawarkan kelas khas aliran Bahasa Arab pada tahun 2002. Seterusnya kelas Pendidikan Khas mula dibuka pada tahun 2003. Bagi menggerakkan sokongan dan peranan ibu bapa, Persatuan Ibu Bapa dan Guru [PIBG] telah ditubuhkan dan En Jamil bin Haji Saad telah dilantik sebagai Yang Dipertua PIBG SMKBBST yang pertama.
Dalam bidang kurikulum pula, pada tahun 2005 sebuah makmal komputer yang telah disediakan oleh Kementerian Pelajaran mula beroperasi dan sebjek Teknologi Maklumat mula ditawarkan pada pelajar tingkatan 4 pada tahun 2006. Pada tahun 2006 juga telah diwujudkan subjek Pendidikan Vokasional iaitu Hiasan Dalaman yang ditawarkan kepada pelajar tingkatan 4.
Pada tahun 2006 juga, SMKBBST maju selangkah lagi dengan penubuhan kelas tingkatan 6. Pada tahun 2007 pula, SMKBBST melakar sejarah dengan penubuhan kelas tingkatan 4 jurusan Sains Tulen Agama. Pada tahun yang sama juga, sesi persekolahan petang juga telah mula dilaksanakan dengan bilangan pelajar seramai 250 orang dan 11 orang guru sahaja. Persekolahan sesi petang ini diselia oleh Puan Mardiyah binti Mohamad.
Kepimpinan dan kecemerlangan SMK BBST diteruskan dengan kehadiran Tn Hj Muskamal bin Mohamad Jonan sebagai pengetua bermula 1 Julai 2008 hingga 28 Februari 2014. Pelbagai perubahan telah dilaksanakan di bawah kepimpinan beliau terutamanya apabila surau SMK BBST si naiktaraf menjadi sebuah masjid untuk menunaikan solat Jumaat oleh warga SMK BBST dan komuniti setempat. Tn Hj Muskamal sekarang ini telah menjadi pengetua di SMK Sungai Pelek bermula 1 Mac 2014.

Kesinambungan pentadbiran SMK BBST diteruskan dengan peneraju baharu iaitu Pn Norma binti Daud bermula 1 Mac 2014. Pengurusan dan pentadbiran sekolah dibantu oleh barisan pentadbir yang lain iaitu Encik Salehin bin Abdullah (PK Pentadbiran), Pn Hjh Sabaria binti Darut (PK HEM), Pn Hanizam binti Mohd Rosly (PK Petang), Pn Hjh Rohani binti Othman (PK Tingkatan 6) dan En Mohd Rafi bin Mohd Lod (Penyelia PPKI). PK Kokurikulum , Hj Azam bin Daud telah berpindah ke SMK Bukit Changgang bermula 1 Mac 2016. Empat Guru Kanan Mata Pelajaran sekarang ialah Pn Siti Romdiah binti Bakron (GKMP Bahasa), Pn Siti Khairani binti Alias (GKMP Sains dan matematik), Pn Zainon binti Jailani (GKMP Kemanusiaan) dan En Norshamsul Azlan bin Mohd Nor (GKMP Teknik dan Vokasional). 

Pelbagai perubahan terbaik telah dilaksanakan oleh Puan Norma selaku pengetua. Antaranya adalah dengan memperkenalkan sistem pengurusan disiplin yang dikenali sebagai Kad Pintar kepada semua murid. Dengan adanya Kad Pintar masalah disiplin murid-murid SMK BBST telah menurun dengan mendadak. Selain daripada itu, beliau juga memperkenalkan Program ICU yang melibatkan semua unit. Namun demikian, Pn Norma telah berpindah ke SMK Dusun Nanding bermula 1 Mac 2016. SMK BBST telah menerima pengetua yang baru iaitu Tn Hj Arbain bin Pinni bermula 1 Mac 2016. Pada tahun 2018, SMK BBST telah menerima pengetua yang baru iaitu Tn Hj Yusri bin Dahrumi. En Samzini bin Abdullah pula telah bertugas sebagai pengetua SMK BBST yang baru pada tahun 2020-2022. Pada 9 Januari 2023, Dr Hj Abdul Jalil bin Ahmad telah dilantik sebagai Pengetua Cemerlang JUSA C di SMK BBST. 
Bilangan murid pula telah mencecah seramai 1930 dan bilangan guru adalah sebanyak 156 orang. 
Dengan komitmen yang tinggi antara PIBG dengan pihak sekolah, telah meletakkan nama SMK BBST sebaris sekolah terbaik di Malaysia apabila dicalonkan sebagai Sekolah Cemerlang Kategori Asrama Harian. Ini adalah satu penghormatan yang tidak terhingga kepada warga SMKBBST. Mudah-mudahan barisan pentadbir yang baharu akan menjadikan SMK BBST lebij cemerlang dalam melahirkan generasi berilmu, bersahsiah cemerlang dan cergas. 
FALSAFAH PENDIDIKAN KEBANGSAAN

Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha yang berterusan ke arah lebih memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmoni dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan warganegara Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketrampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan Negara.

VISI


"Pendidikan Berkualiti Insan Terdidik Negara Sejahtera"

MISI

"Melastarikan SIstem Pendidikan Yang Berkualiti Untuk Membangunkan Potensi Individu Bagi Memenuhi Aspirasi Negara"

FALSAFAH SEKOLAH

Proses pendidikan SMK Bandar Baru Salak Tinggi merupakan satu usaha yang berterusan selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan wawasan Negara untuk membentuk pelajar bersahsiah terbilang, cemerlang dalam bidang kurikulum dan kokurikulum berlandaskan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan.

WAWASAN SEKOLAH

SMK Bandar Baru Salak Tinggi mempunyai wawasan ke arah:

  1. Mewujudkan sekolah unggul, cemerlang, dan gemilang di peringkat daerah, negeri dan negara.
  2. Melahirkan pelajar yang berkualiti dan cemerlang dari segi pendidikan, sahsiah, fizikal, dan rohani serta patuh akan ajaran agama.

PIAGAM PELANGGAN

Kami, warga SMK BBST dengan penuh azam dan iltizam berikrar dan berjanji akan melaksanakan Dasar Pendidikan Kebangsaan. Kami berikrar akan:
  1. Menyediakan suasana pengajaran dan pembelajaran yang kondusif dalam bidang kurikulum dan kokurikulum.
  2. Melahirkan generasi yang berketrampilan, beriman, berilmu, beramal dan bersahsiah mulia.
  3. Mencetus dan merealisasikan masyarakat penyayang agar warga sekolah berasa bangga terhadap sekolah dan saling menghormati antara warga sekolah serta seluruh komuniti pendidik
  4. Bersedia bekerjasama menerima teguran dan cadangan bagi mencapai kecemerlangan dalam segala aspek.
  5. Sentiasa mengalu-alukan kedatangan ibu bapa, ahli masyarakat, dan sedia berbincang serta bekerjasama untuk kebaikan sekolah.
KONSEP LENCANA SEKOLAH